"Saya sedang memasak ketika itu dan tak mampu untuk melarikan diri. Askar-askar bersenjata memasuki kampung dengan cepat, menafikan semua peluang kami untuk lari. Tiga askar dengan rifel datang ke rumah dan yang lain 'memagari' kampung. Mereka merempuh masuk dan menangkap saya. Orang tua cuba untuk membantu tetapi ayah disepak kepalanya. Darah terpercik ke merata tempat. Saya melawan dan disepak juga. Parutnya masih ada di sini. Kemudian seluar dalam saya dilucutkan dan seorang askar membuka seluarnya. Ketika yang lain memegang saya di lantai dapur, disaksikan oleh orang tua serta abang, dia memasukkan anunya ke dalam saya. Saya tak tahu apa yang dia hendak lakukan. Saya tak tahu apa-apa tentang kenyataan hidup. Saya baru berusia 15 tahun ketika itu dan belum pun pernah datang bulan."
- Madam X, Februari 1942, Tanah Melayu.
Catatan itu adalah ingatan semula Madam X, seorang mangsa kekejaman perang tentera Jepun yang berlaku di Malaysia, yang waktu itu masih lagi Malaya. Ia adalah cebisan daripada ribuan kisah sengsara ketika Perang Dunia Kedua, lebih tepat ketika berada di bawah kekuasaan tentera imperialis Jepun, walau di ceruk mana pun tentera mereka berada, terutama di Asia dan Asia Tenggara.
Ini ialah kisah kelompok yang disebut 'comfort women', atau dalam bahasa Melayu diterjemahkan 'perempuan penyedap'. Dilarikan daripada keluarga, ada yang dijanjikan dengan harapan untuk mendapat kerja. Sedangkan hanya ada satu hal yang pasti, berakhir di 'stesen-stesen penyedap' yang terancang sebagai pemuas nafsu askar-askar Jepun secara paksa.
Pada suatu tengah hari yang kosong tidak berapa lama dulu, saya dilalaikan oleh satu rancangan di saluran National Geographic. Beberapa wanita warga emas diwawancara. Dari raut wajah mereka, seperti ada keperitan untuk berbicara. Semacam ada pengakuan yang memalukan.
Mereka bercerita bagaimana terjebak secara paksa menjadi 'perempuan penyedap' ketika Perang Dunia Kedua. Pengalaman yang diceritakan itu amat menyeramkan.
Bertitik tolak daripada kejadian rogol di wilayah jajahan, tentera Jepun kononnya mencari penyelesaian kepada masalah tersebut agar kejadian merogol sesuka hati tidak lagi berlaku. Hanya satu jalan keluar yang terlihat. Bagi mereka, tentera Jepun yang berada di perbatasan memerlukan seks. Apa lagi yang boleh dilakukan selain daripada memberikan seks sebagai jalan keluar?
Stesen-stesen khas
Dengan itu, pemerintah tentera Jepun mendirikan stesen-stesen khas yang terancang untuk menempat dan membekalkan perempuan penyedap. Wanita yang kebanyakannya dari Korea dan China dihumban dan diperkosa secara sistematik di sana. Walaupun sepatutnya dijanjikan wang upah sebagai pekerja seks, hakikatnya hanya segelintir saja yang mendapat habuan itu. Selebihnya hanya seksa tanpa nikmat.
Secara purata, perempuan itu terpaksa melakukan seks 15 hingga 30 kali sehari. Imej askar-askar Jepun yang berbaris menunggu giliran di luar kawasan yang kotor, dipisahkan oleh kain-kain antara bilik amat menakutkan. Neraka apa yang sedang didepani wanita-wanita itu, hanya mereka saja yang tahu. Ada yang bercerita, mereka tidak pun mampu untuk berehat dan membersihkan diri setiap kali selepas disetubuhi. Hanya sempat mengelap kemaluan dengan tisu sambil diperhatikan oleh askar Jepun seterusnya yang sudah siap siaga untuk merobek lagi.
Bukan hanya wawancara dengan bekas 'perempuan penyedap' yang dipaparkan. Dokumentari itu turut bertemu beberapa askar peringkat tinggi Jepun. Seorang lelaki tua yang tampil mencerminkan rasa kesal. Walaupun masih mampu bercerita dengan tenang pengalaman dan pengakuannya melampiaskan nafsu. Ketika ditanya sama ada isterinya mengetahui hal itu, dia hanya menjawab: "Kami tidak berbincang mengenainya. Keadaan memang begitu dan saya sebahagian daripada monumen waktu itu. Saya tidak menafikan kejadian-kejadian itu berlaku."
Cerita itu mula-mula sekali dibocorkan pada tahun 1962, apabila seorang wartawan dari akhbar bahasa Jepun Mainichi Shimbun, Senda Kako cuba merungkai rasa ingin tahunya terhadap sekeping foto yang dilarang pengedarannya ketika zaman perang. Perkembangan itu dilihat sebagai satu titik penting.
(BUKU The Comfort Women mendedahkan sifat binatang tentera Jepun.)
--------------------------------------------------------------------------------
Masyarakat dunia, terutama wanita-wanita Korea yang terjejas teruk, mula berani mengungkapkan pengalaman ngeri itu untuk tatapan umum. Sedikit demi sedikit hal yang sebelum ini dinafikan oleh pemerintah Jepun semakin menampakkan wajah hodohnya dan tidak lagi mampu berselindung.
Penemuan mengejutkan
Sehingga tahun 1991, ketika tuntutan sekumpulan wanita Korea yang memfailkan saman terhadap pemerintah Jepun, George Hicks, penulis buku ini buat pertama kali menyedari dan mengambil serius hal ini. Sebagai seorang penulis dan ahli akademik yang dekat dengan perkembangan Asia, dia meenggunakan kelebihan itu untuk menghubungi rakan-rakan lain yang dirasakan dapat membantu memberikan bukti. Semakin lama, plot perkara tabu ini tak lagi dapat disorok. Hasilnya, beliau menyiapkan buku ini, yang pertama dan terperinci pernah disaksikan oleh khalayak pembaca bahasa Inggeris.
Kajian dan penemuannya amat mengejutkan. Hasil daripada pengumpulan cerita-cerita serta dokumen pengalaman rasmi dan lisan, semua disusun Hicks dengan penuh kesedaran dan rasa hiba. Dengan itu, lahirlah buku The Comfort Women yang diterbitkan pada tahun 1994.
Ketika wanita-wanita tertindas itu mula bersuara, hal tabu di Jepun akhirnya menjadi satu letusan isu hak asasi manusia yang mendapat perhatian dunia. Kumpulan-kumpulan pendesak mula lahir untuk memberi tekanan terhadap kerajaan Jepun. Antara tuntuan mereka ialah akhiri tabu berkenaan terhadap bangsa Jepun dan benarkan kisah itu dimasukkan di dalam buku teks untuk pengajaran silibus di sekolah.
Harapan generasi muda
Bagi mangsa-mangsa seks berkenaan, mereka menuntut ganti rugi dan mahu Jepun mengakui perbuatan mereka yang selama ini dinafikan. Dengan bukti dan saksi yang tampil, kebenaran akhirnya perlahan-lahan meresap dalam kepercayaan orang ramai di seluruh dunia.
Ketika ini, generasi baru Jepun mungkin sudah pun mengakui kesilapan mereka dan malu atas segala apa yang berlaku. Isu ini juga menjadi antara sentimen getir yang terus-menerus menegangkan hubungan Korea-Jepun.
Hal-hal sejarah silam itu juga masih amat sensitif untuk dibicarakan di Jepun. Generasi baru malu dan terbeban dengan kisah silam bangsa mereka sendiri.
Saya masih ingat perbualan saya dengan Mari-san di Tokyo. Beliau yang berusia 50-an, kelihatan amat berat untuk berbicara tentang hal-hal hubungan dan diskriminasi Korea-Jepun. Cuma ada harapan baru yang disandarkan kepada golongan muda kedua-dua buah negara.
Katanya: "Anak-anak muda Tokyo kini misalnya, sudah tergila-gilakan Rain, artis tampan dari Korea. Bagi saya ini satu perkembangan baik, walaupun nampak remeh. Ia lama-kelamaan akan mempunyai kesan kepada mereka."
Hukum alam agaknya memang tertulis sebegini: sejarah sebuah bangsa tidak boleh menjadi beban yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Orang muda harus melepaskan sendiri beban yang tergalas dibahu mereka dengan merenung kembali sejarah berkenaan dan bermula kembali dengan fikiran jernih.
source - kosmo online 24/11/09