KUANTAN - Seorang wanita yang mengendong bayi berusia kurang daripada setahun menggeletar sehingga terkencing apabila ditahan di sebuah pasar raya terkenal di sini malam kelmarin selepas didapati mencuri baju dan pakaian kanak-kanak.
Ibu berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan bersama seorang lagi rakan sebayanya dengan barangan curi bernilai RM176.
Menurut pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Inspektor Nur Zulaikha Isha, kedua-dua wanita itu pada mulanya dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan pakaian wanita pasar raya tersebut pada pukul 8.25 malam.
"Wanita itu dipercayai telah memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg tangan tanpa menyedari tindak-tanduk mereka telah diperhatikan," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini semalam.
Bagaimanapun, ketika kedua-dua suspek cuba beredar meninggalkan pasar raya itu, mereka terus ditahan.
"Hasil pemeriksaan, beberapa helai baju wanita dan kanak-kanak bernilai RM176 ditemui dalam beg tangan suspek," jelasnya.
Kedua-dua wanita itu yang berasal dari bandar ini kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.
"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,'' ujarnya.
source - kosmo online